SHAH ALAM – Pemain Johor, Kelly Tan mempertahankan kejuaraannya buat kali ketiga berturut-turut dalam kategori wanita bawah 21 tahun pada Cabaran Golf Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSM) di Glenmarie Golf & Country Club di sini, semalam.

Muhyiddin Yassin bersama pemenang Cabaran Golf Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSM), Mohd. Wafiyuddin Abd. Manaf (kiri) dan Kelly Tan selepas majlis penyampaian hadiah di Kelab Golf Glenmarie Shah Alam, semalam. – Utusan/Saharuddin Abdullah
Kelly turut berjaya melakukan pukulan selubang (hole-in-one) pada lubang kedua par tiga dan memenangi sebuah motosikal Modenas serta pakej bermain golf secara percuma di Glenmarie Golf & Country Club, di sini.
Lebih manis, Timbalan Perdana Menteri yang juga pengasas serta penaung Yayasan Golf Amal TSM, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan sendiri hadiah khas pukulan selubangtersebut.
Sementara itu, kategori lelaki pula menyaksikan Mohd. Wafiyuddin Abd. manaf dari Kedah muncul juara selepas mencatatkan keseluruhan 219 pukulan mengalahkan semua peserta lelaki di bawah 21 tahun termasuk juara bertahan Loh Khai Jei sekaligus membawa pulang wang tunai RM40,000 beserta trofi.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengerusi Yayasan Golf Amal TSM, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas.
Sementara itu, tempat kedua bagi kategori wanita Cabaran Golf TSM dikongsi Aretha Pan dan Loy Hee Ying, kedua-duanya mencatatkan 216 pukulan secara keseluruhan dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM10,000.
Tempat ketiga pula dimenangi oleh Asha Lakshme Bala Krishan dengan keseluruhan 222 pukulan, dengan kejayaan tersebut beliau berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.
Tempat kedua bagi kategori lelaki pula dimenangi oleh Muhammad Afif Muhd. Razif dengan 225 pukulan, sementara tempat ketiga pula dimenangi oleh Kuhanesh Ganeshan dengan 226 pukulan, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 dan RM3,000.
Dalam pada itu, Megat Najmuddin dalam ucapannya semasa majlis penyampaian hadiah berharap kejohanan tersebut dapat mengasah bakat baru untuk melahirkan pemain golf negara yang satu hari nanti akan menjadi pemenang di persada antarabangsa.
Usaha yang gigih dan berterusan, latihan kemahiran secara sistematik dan saintifik serta komitmen yang tinggi para atlet golf dan keluarga, merupakan adunan yang terbukti penting untuk melahirkan seorang tokoh sukan golf di peringkat dunia.
“Kita harus mencontohi Korea Selatan yang mana mereka mampu mendidik pemain muda dengan disiplin tinggi dan semangat cintakan negara yang kuat. Inilah yang kita mahu dalam pasukan golf negara khususnya untuk ke Olimpik 2016 di Brazil nanti,” katanya.
Cabaran Golf TSM tampil dengan slogan ‘Mencari Tiger Malaysia’ merupakan ilham Muhyiddin sendiri dalam usaha mencungkil bakat golf sebagai persediaan menghadapi Sukan Olimpik 2016 di mana golf buat pertama kali dipertandingkan.
Kejohanan itu diiktiraf oleh Persatuan Golf Malaysia (MGA) dengan sokongan Ranking Golf Amatur R&A dan diuruskan oleh MST Golf.
Oleh HAKIMI ISMAIL
sukan@utusan.com.my
漏 Utusan Melayu (M) Bhd











