Shah Alam: Demi meringankan beban mangsa banjir di Pahang, Terengganu, Johor dan Kelantan, Yayasan TSM Charity Golf (TSMCGF) menghulurkan sumbangan RM100,000 kepada Tabung Bencana Banjir The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP)-Media Prima, semalam.
Sumbangan itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas menghadiri Kejohanan Golf Amal Tan Sri Muhyiddin sempena Cabaran Golf Proton TSM di Kelab Golf Glenmarie, di sini, semalam.
Muhyiddin yang juga Pengasas TSMCGF menyampaikan cek sumbangan itu kepada Penasihat Tanggungjawab Sosial Korporat Kumpulan Media Prima, Datuk Ahmad A Talib.
Presiden TSMCGF Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, sumbangan yang disalurkan pihaknya diharap dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir yang kini ditempatkan di pusat penempatan sementara.
Menurutnya, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), TSMCGF bersimpati dengan penderitaan mangsa dan diharap sumbangan ini dapat digunakan untuk membeli barangan dan kelengkapan yang musnah.
Sementara itu, Ahmad berkata, sejak Tabung Bencana Banjir New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP)-Media Prima dilancarkan, pihaknya menerima pelbagai sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk orang ramai yang menyalurkan bantuan melalui akaun bank tabung berkenaan.
Read more: Harian Metro Online











